Syazwan Msar


KALI pertama dipertandingkan pada Sukan Sea memberi semangat kepada pasukan e-sukan negara untuk menjadi antara penyumbang pingat dalam temasya dwitahunan itu.

Membariskan atlet terbaik dari seluruh negara, pasukan e-sukan yang diwakili 24 pemain berusia 15 hingga 26 tahun akan berusaha memastikan sasaran dua emas dapat dicapai menerusi permainan Dota 2 dan Hearthstone.

Pengurus pasukan, Firdaus Hashim berkata, walaupun atlet e-sukan menyertai enam kategori yang dipertandingkan, pihaknya tidak mahu meletakkan sasaran tinggi walaupun pasukan negara berpotensi melakar kemenangan dalam kategori Starcraft II, Mobile Legends:Bang Bang, Arena of Valor dan Tekken 7.

Katanya, sasaran dua emas itu membabitkan Dota 2 dan Hearthstone manakala satu perak dan tiga gangsa diletakkan pada empat permainan lain.

“Semua pemain yang dipilih berdasarkan keputusan pertandingan yang mereka sertai sebelum ini selepas mengalahkan beberapa pasukan lain.

“Pemain e-sukan negara menjalani latihan 12 jam sehari di Orange Esports Cafe di Wangsa Maju dan Taman Segar di Cheras,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Untuk rekod, e-sukan dijadikan acara pertunjukan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, sebelum buat julung kali dipertandingkan pada Sukan Sea kali ini.


SKUAD e-sukan negara usaha capai sasaran dua pingat emas di Filipina. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Selain itu, Firdaus berkata, walaupun dilihat atlet e-sukan kurang melakukan aktiviti fizikal, penekanan membabitkan kesihatan dan pemakanan turut dititikberatkan bagi memastikan mental mereka berada pada tahap optimum.

“Semua atlet berkenaan dipantau rapi oleh jurulatih yang akan memastikan mereka mempunyai rehat secukupnya dan latihan sistematik.

“Setakat ini, semua atlet e-sukan tidak mempunyai sebarang masalah dan mereka juga sudah bersedia memberikan saingan sengit kepada lawan nanti,” katanya.

Menurutnya, atlet tuan rumah iaitu Filipina, selain Thailand dan Vietnam sudah pasti akan menurunkan barisan pemain terhebat bagi memastikan pingat emas dalam genggaman mereka.

“Namun, atlet kita pun bukan calang-calang kerana mereka dipilih berdasarkan keupayaan dan kebolehan pada pertandingan sebelum ini.

“Malah, atlet e-sukan ini adalah yang terbaik, walaupun ada antara mereka masih muda dan bersekolah, namun amat hebat dalam kategori permainan masing-masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 4:30 AM