Syazwan Msar


ELAK provokasi dan nikmati perlawanan malam esok. Itu peringatan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kepada penyokong yang datang ke Stadium Nasional Bukit Jalil supaya tidak menimbulkan masalah hingga menjejaskan rentak kedua-dua pasukan.

Cheng Hoe berkata, perlawanan malam esok bukanlah mudah kepada skuad negara walaupun menang 3-2 di Stadium Bung Karno pada perlawanan pertama kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Saya sentiasa menasihati pemain supaya terus fokus setiap perlawanan walaupun kita ketahui Indonesia berdepan pelbagai masalah namun kali ini tampil dengan pasukan lebih baik. Saya harap penyokong datang menikmati perlawanan dan elak cetuskan provokasi atau kekecohan,” katanya dalam sidang media praperlawanan Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.


CHENG Hoe bersalaman dengan Yeyen ketika sidang media hari ini.

Sementara itu, pengendali skuad Sang Garuda, Yeyen Tumena berkata, kekalahan sebelum ini menyebabkannya mengambil sikap lebih berhati-hati dalam mempersiapkan barisan pemain. “Kita sudah melakukan persiapan awal termasuk melihat perlawanan Malaysia menentang Thailand sebelum ini pasti banyak perubahan perlu dilakukan,” katanya.

Perlawanan malam esok menyaksikan Malaysia yang berada di kedudukan keempat kumpulan G dengan enam mata perlu meneruskan momentum kemenangan menentang Indonesia bagi mencerahkan peluang untuk sekurang-kurangnya berada di tangga kedua kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 5:55 PM