Hamidin (dua kiri) mengadakan pertemuan bersama pemain kebangsaan. FOTO Ihsan FAM.

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meluangkan masa untuk bersarapan pagi bersama pemain skuad Harimau Malaya menjelang aksi kelima Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Hamidin berpesan kepada pemain tentunya hanyalah satu iaitu tiga mata penuh perlu diraih bagi memastikan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe itu terus berada dalam persaingan merebut tempat ke pusingan seterusnya dan layak ke Piala Asia 2023.

"Saya melihat perlawanan malam ini cukup istimewa kerana kita boleh lihat, walaupun perlawanan pada hari bekerja (Selasa), tiket telah pun habis dijual pada Sabtu lalu.

"Penyokong Harimau Malaya menganggap pertemuan dengan Indonesia ini satu pertembungan 'rival'. Jadi menjadi tanggungjawab pemain untuk menterjemahkan kemenangan dan kejayaan pada aksi malam ini.

"Jangan kecewakan penyokong kita yang hadir ke stadium. Tiada seri atau kalah, hanya kemenangan kerana ia penting untuk imej dan moral pasukan untuk terus bersaing dalam Kumpulan G ini.

"Saya yakin pemain memiliki kualiti untuk meneruskan momentum dan meraih kemenangan ketiga berturut bulan ini selepas kita berjaya menewaskan Tajikistan 1-0 dan Thailand 2-1.

"Apapun, jangan terlebih yakin kerana Indonesia walaupun telah kalah kesemua empat perlawanan sebelum ini, mereka juga pasti mahu mencipta kejutan," kata Hamidin dipetik menerusi laman web FAM.

Hadir sama, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang juga pengurus pasukan serta Datuk Posa Majais, penolong pengurus pasukan.

Hamidin turut menasihati penyokong Harimau Malaya supaya menjaga tingkah laku dan hanya fokus untuk memberikan sokongan padu kepada pemain yang beraksi di atas padang tanpa sebarang provokasi kepada penyokong pasukan lawan demi memastikan kelancaran perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 10:38 AM