Skip this ad x
Zaidatul janji kuartet negara akan beri cabaran di Filipina. FOTO NSTP
Iskandar Shah Mohamed


KUARTET 4×100 campuran kebangsaan membulat tekad untuk mempamerkan aksi bertenaga sekali gus menghadiahkan pingat buat negara pada penampilan sulung mereka di Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Walaupun masih baharu, gandingan menerusi pelari Zaidatul Husniah Zulkifli, Jonathan Nyepa, Azreen Nabila Alias dan Nixson Kennedy itu dilihat mampu memberi cabaran sengit dalam acara yang julung kali dipertandingkan pada temasya dwitahunan berkenaan.

Zaidatul Husniah, 26, mengakui tahap keserasian dengan tiga rakan sepasukannya semakin baik biarpun agak jarang menjalani latihan larian bersama sebelum ini.

"Apa yang penting adalah persefahaman dan semangat berpasukan yang tinggi walaupun gandingan kami baru saja dibentuk kem kejurulatihan negara.

"Alhamdulillah, kami berjaya merekodkan catatan masa lebih baik dan bersedia untuk bersaing dengan kuartet negara lain di Filipina nanti," katanya kepada Arena Metro.

Olimpian berusia 26 tahun itu berkata, peluang untuk meraih pingat terbuka berikutan semua negara bertanding belum mengetahui kekuatan kuartet campuran masing-masing.

"Ia acara baharu tidak pernah dipertandingkan dan kami belum bersaing dengan negara lain seperti Vietnam dan Filipina.

"Namun, saya yakin kami kini berada dalam prestasi terbaik dan akan memberi tentangan sengit untuk meraih pingat sulung dalam temasya itu," katanya.

Kelmarin, kuartet 4×100 campuran negara itu membuktikan kehebatan dengan merekodkan catatan terbaik mereka pada Kejohanan Olahraga Terbuka BJSS-Innotex di Stadium Mini MSN Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mereka mencatat masa 42.53 saat sekali gus memperbaiki rekod sebelum ini 43.91s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Perak All Comers, bulan lalu.

Kuartet terbabit antara 49 atlet olahraga kebangsaan yang akan menggalas cabaran Malaysia di di New Clark City bermula 6 Disember depan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 2:16 PM