Firdaus Hashim & Syazwan Msar


KEAJAIBAN kaki kiri Safawi Rasid memastikan Malaysia terus bernyawa pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila rembatan bak pelurunya menghadiahkan kemenangan mutlak 2-0 ke atas Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Kejayaan manis di depan 85,000 penonton membolehkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe mengumpul sembilan mata selain mencatat kemenangan kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Thailand 2-1 (Kelayakan Piala Dunia) dan Tajikistan 1-0 (persahabatan antarabangsa).

SAFAWI meraikan jaringan pertama pada perlawanan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Sebaliknya, impian Indonesia untuk mengejutkan tuan rumah dengan meraih tiga mata terus kempunan dan mereka masih tidak menang dalam lima aksi Kumpulan G.

Biarpun dihimpit masalah penggantungan penyerang utama Syafiq Ahmad, Cheng Hoe bagaimanapun masih mengekalkan hampir semua kesebelasan utama ketika menewaskan Thailand Khamis lalu dengan hanya memasukkan Akhyar Rashid di bahagian serangan.

Belum sempat pemain negara mengatur permainan, mereka dikejutkan dengan serangan awal skuad Garuda yang dilihat lebih mengancam menerusi beberapa siri serangan pantas ke kubu negara.

PENYOKONG memberi semangat kepada pasukan Malaysia. FOTO Eizairi Shamsudin

Paling hampir menerusi percubaan Febri Hariyadi pada minit ke-19 namun tolakannya berjaya dihalang Khairulazhan Khalid sebelum dia dikeluarkan susulan kecederaan selepas bertembung dengan Febri.

Kemasukan penjaga gol kedua, Farizal Marlias memberi sinar baharu apabila rakan sepasukan dari kelab Johor Darul Ta’zim, Safawi meledak dengan gol pembukaan pada minit ke-30.

Gol sumbangan pemain paling bernilai pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan itu terhasil menerusi sepakan percuma padu ala David Beckham dengan kaki kiri yang menewaskan Muhammad Ridho.

Namun jaringan pertama tuan rumah itu tidak menyentap semangat juang anak buah Yeyen Tumena yang sekali lagi menghadirkan cemas, begitupun aksi kelam-kabut dalam kotak penalti pada minit ke-36 berjaya dihalang pertahanan negara.

NORSHAHRUL Adlan Talaha cuba melepasi pertahanan Indonesia. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Memasuki babak kedua, kem negara memasukkan penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha dengan mengeluarkan Akhyar bagi memantapkan bahagian depan.

Safawi yang memiliki kekuatan kaki kiri sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila merembat kencang untuk menambah gol kedua pada minit ke-73.

Pelawat berpeluang merapatkan kedudukan pada minit ke-81 menerusi sepakan penalti Osas Marvellous bagaimanapun kecewa apabila Farizal mudah menangkap sepakan lemah itu.

MOHAMADOU Sumareh mengawal bola dari pemain Indonesia. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 11:01 PM