Saiful Affendy Sapran


SETIAP pelumba pastinya menyimpan hasrat untuk beraksi di saingan berprestij Formula Satu (F1), namun tidak semua mampu mencapainya.

Dengan pelbagai halangan terutama sekali penajaan yang cukup besar, sukar bagi seseorang pelumba untuk menempatkan diri mereka dalam kancah F1.

Salah seorang pelumba negara yang mempunyai impian sama adalah Mohamad Afiq Ikhwan Mohamad Yazid. Seperti pelumba lain, Afiq juga pada awalnya mempunyai cita-cita untuk beraksi di F1, namun dia sedar laluan untuk berbuat demikian bukan mudah.

Atas faktor itu, Afiq mengambil keputusan untuk menyertai perlumbaan berasaskan kereta Grand Tourer (GT) yang dilihat mempunyai prospek lebih luas.

“Pada awalnya memang fokus saya adalah untuk perlumbaan ‘single seater’ ( jentera satu tempat duduk). Tapi, memikirkan agak sukar untuk beraksi di F1, saya mengubah haluan kepada perlumbaan GT. Lagipun perlumbaan single seater hanya popular di Eropah. Mengapa saya memilih perlumbaan GT adalah kerana skop perlumbaan lebih meluas,” katanya.


AFIQ di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Pertaruhan Afiq akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya memenangi perlumbaan Siri Lamborghini Super Trofeo Asia buat kali keempat berturut-turut dengan terbaru pada bulan lalu.

“Keputusan saya untuk berlumba dalam siri yang lain akhirnya membuahkan hasil. Kini saya lebih memfokuskan kepada perlumbaan seperti ini. Saya menjadikan perlumbaan sebagai punca rezeki dan dengan berlumba di Siri Lamborghini Super Trofeo Asia, saya memperoleh pendapatan yang agak baik.

“Tidak sekali pun saya rasa menyesal kerana tidak dapat beraksi di F1,” katanya.

Dengan pengalamannya itu juga, Afiq kini menjadi jurulatih kepada pelumba yang beraksi di saingan Formula 4 SEA.

“Saya harap dengan pengalaman saya selama ini ia dapat membantu barisan pelumba muda,” katanya.


AFIQ (kanan) berbincang dengan pasukan mekanik di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 5:30 AM