Pemain Wales, Aaron Ramsey (kiri) dan Gareth Bale meraikan kejayaan selepas perlawanan berdepan Hungary. FOTO Reuters
Reuters

WALES melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Eropah buat tahun kedua berturut-turut selepas gol pada setiap babak oleh pemain tengah Aaron Ramsey membolehkan pasukan itu menang 2-0 ke atas Hungary dalam kelayakan saingan Kumpulan E pagi ini.

Wales yang mara separuh akhir Euro 2016, berada di kedudukan kedua dengan 14 mata daripada lapan perlawanan, tiga di belakang Croatia yang sudahpun memastikan kedudukan mereka selepas menang ke atas Slovakia, 3-1 pada Sabtu.

Kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan untuk layak dan Wales terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan apabila Ramsey memastikan tuan rumah mendahului menerusi rembatan pada jarak enam meter di minit ke 15 selepas menerima hantaran dari sudut kanan Gareth Bale.

Wayne Hennessey bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan tepat ke gawang gol untuk memastikan Wales terus di depan pada separuh masa pertama sebelum Ramsey sekali lagi meledak pada minit ke-49 menolak masuk di sudut atas penjuru gawang gol selepas menerima hantaran pantas.

Keputusan itu adalah satu kejayaan buat pengurus Wales Ryan Giggs, yang tidak pernah berpeluang tampil di Piala Dunia atau Kejohanan Eropah sebagai pemain namun kini mencapainya ketika membimbing negaranya ke Euro 2020 selepas mengambil alih daripada Chris Coleman pada Januari 2018.

Giggs bekas pemain sayap Manchester United yang memenangi 13 kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan dua trofi Liga Juara-Juara bersama kelab itu sangat berbangga.

“Ia tidak membuatkannya lebih baik, ia sangat menakjubkan,” kata Giggs menerusi kenyataan kepada BBC.

“Dari mana kami bermula pada musim panas, semua pujian harus diberikan kepada pemain selepas bangkit semula. Salah satu hari yang terbaik dalam hidup saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 6:48 AM