Pemain Jerman, Serge Gnabry menjaringkan hatrik pada perlawanan menentang Ireland Utara. FOTO Reuters
Reuters

SERGE Gnabry menjaring hatrik ketika Jerman yang sudahpun layak bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk membelasah Ireland Utara, 6-1 dalam perlawanan terakhir kelayakan Euro 2020 pagi ini, dan berakhir di kedudukan teratas Kumpulan C.

Gnabry menafikan kejutan jaringan pendahuluan Michael Smith pada minit ke lapan menerusi gerakan menarik disusuli rembatan pada minit ke-19.

Dia kemudian menggelecek bola untuk gol ketiga pasukan itu berturut-turut selepas waktu rehat susulan jaringan Leon Goretzka pada minit ke-43 yang meletakkan Jeram di depan.

Pemain sayap berusia 24 tahun melengkapkan hatrik dalam masa hampir sejam untuk memastikan rekod mengagumkan menerusi 13 gol dalam 13 penampilan antarabangsa sebelum Goretzka meledak dari jarak 20 meter untuk memastikan persembahan terbaiknya.

Julian Brandt melengkapkan jaringan pada masa kecederaan dan skuad Jerman yang sudahpun mengesahkan tempat pada kejohanan tahun depan selepas kemenangan ke atas Belarus, 4-0 pada Sabtu, menamatkan saingan dengan 21 mata, dua mata mendahului pasukan di tempat kedua Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 7:11 AM