Norazlan sertai skuad kendalian Zainal Abidin. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


PENYERTAAN bekas penjaga gol kebangsaan, Norazlan Razali bersama Melaka di pentas Liga Malaysia 2020 mampu memperkukuhkan benteng dan kubu skuad berkenaan.

Penolong pengurus Melaka, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, pemain itu menandatangani kontrak bersama skuad Hang Tuah untuk semusim.

Katanya, selain Norazlan, Melaka masih mengekalkan penjaga gol berpengalaman Khairul Fahmi Che Mat (Apek) yang masih memiliki kontrak bersama pasukan sehingga akhir musim depan.

Penjaga gol ketiga, Ahmad Solehin Mamat yang menyertai pasukan pada pertengahan musim selepas menyarung jersi Kuala Lumpur sebelum itu juga sudah menandatangani kontrak di depan presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Damian Yeo Shen Li, minggu lalu.

“Kehadiran Norazlan mampu menjadi pilihan kepada jurulatih Zainal Abidin Hassan seandainya berlaku kecederaan ke atas Khairul Fahmi.

“Malah kami bimbang kecederaan yang dialami Khairul Fahmi sebelum ini berlaku semula membolehkan Norazlan mengisi tempat berkenaan,” katanya.

Ahmad Solehin juga memiliki potensi besar memberi saingan di posisi berkenaan dengan akhirnya terpulang kepada jurulatih menentukan kesebelasan utama pasukan.

Reputasi Norazlan nyata positif buat Melaka yang mahu membentuk skuad terbaik 2020 tambahan dengan pengalaman luasnya beraksi di kancah Liga Malaysia sejak 2006 mewakili beberapa pasukan hebat.

Pemain kelahiran Johor terbabit pernah menyertai negeri kelahirannya selain Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan membantu skuad Harimau Selatan menjuarai Liga Super musim 2014.

Ketika menyertai skuad The Red Giants selama tiga musim dia turut menyumbang kudrat menjuarai Piala Malaysia kali ke-33 pada 2015 sebelum menyertai FELDA United FC musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 3:06 PM