Mourinho ambil alih tempat Pochettino. FOTO REUTERS
Agensi

JOSE Mourinho dilantik sebagai pengurus Tottenham yang baru menggantikan Mauricio Pochettino yang dipecat, awal pagi tadi.

Bekas pengendali Chelsea dan Manchester United itu menandatangani kontrak sehingga penghujung musim 2022-23.

"Kualiti berada dalam skuad dan akademi membuatkan saya gembira," kata jurulatih berbangsa Portugis berusia 56 tahun itu.

"Bekerjasama dengan mereka adalah sesuatu menarik saya."

Pengerusi Spurs Daniel Levy berkata: "Bersama Jose, kami memiliki salah satu pengurus paling berjaya dalam bola sepak."

Tottenham mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu di bawah bimbingan Pochettino tetapi kalah kepada Liverpool di Madrid.

Pengurus Argentina itu dilantik pada Mei 2014, gagal memenangi piala kejuaraan pada penampilan final bersama kelab utara London itu dengan Spurs kali terakhir beraksi pada final Piala Liga pada 2008.

Levy berkata: "Dia (Mourinho) memiliki banyak pengalaman, boleh memberi inspirasi kepada pasukan dan pakar taktikal.

"Dia memenangi gelaran di mana saja kelab dibimbingnya. Kami yakin Jose akan membawa tenaga dan keyakinan ke bilik persalinan."

Mourinho masih berada di London dan menang tiga gelaran Liga Perdana dan satu Piala FA sepanjang dua musim di Chelsea.

Dia juga memenangi Piala Europa dan Piala Liga bersama Manchester United.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 3:38 PM