LOEW mahu manfaat aksi anak buahnya bertemu Sepanyol. FOTO/AFP
AFP

JURULATIH Jerman Joachim Loew mendedahkan bahawa pasukan itu ‘pasti’ akan menentang Sepanyol Mac depan dengan Belgium atau Portugal berpotensi menjadi lawan mereka menjelang kejohanan akhir Euro 2020.

Serge Gnabry meledak hatrik dan rakan sepasukannya di Bayern Munich Leon Goretzka meledak dua gol ketika membelasah Ireland Utara 6-1 awal pagi tadi, yang mengesahkan Jerman selaku juara kumpulan mengatasi Belanda.

Loew mendedahkan bahawa Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) bakal mengesahkan aksi persahabatan menentang Sepanyol, yang menurut laporan media Sepanyol akan berlangsung di Madrid, dengan kemungkinan menentang Belgium atau Portugal dalam satu lagi perlawanan persahabatan juga pada Mac.

“Sepanyol sudah pasti. Perbincangan akhir sedang berjalan,” kata Loew.

“Lawan kedua masih belum diputuskan. Kami cuba mendapatkan Portugal atau Belgium.

“Kami menunggu hingga ke selepas undian kejohanan akhir Euro 2020 pada 30 November di Bucharest.

“Kami tenang menanti undian itu. Kita terima saja apa yang datang.”

Jerman dijangka beraksi dalam tiga perlawanan Kumpulan F di Munich pada saingan Euro 2020, yang diadakan di 12 bandaraya Eropah dari 12 Jun hingga 12 Julai.

“Sudah pasti ia kelebihan besar buat kami. Kami boleh merancang sekarang dan tidak perlu ke mana-mana,” kata Loew.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 8:05 PM