BINTANG muda Salzburg, Haaland diburu Arsenal. FOTO Agensi
Agensi

ARSENAL menggandakan usaha mendapatkan Erling Haaland selepas menjemput bapa penyerang itu melawat pusat latihan mereka, menurut laporan media.

Pemain berusia 19 tahun itu dijangka menjadi salah seorang pemain yang diburu pada jendela perpindahan Januari depan ketika beberapa kelab memantau perkembangannya di Red Bull Salzburg.

Haaland mempamerkan aksi hebat musim ini dengan menjaringkan 26 gol menerusi 18 penampilan dan persembahannya memukau sejumlah pasukan ternama Eropah termasuk Real Madrid, Juventus dan Bayern Munich.

Manchester United turut berada dalam saingan untuk mendapatkan Haaland dengan laporan awal minggu ini bahawa bapa pemain itu, Alf-Inge, diberi peluang melawat pusat latihan kelab di Carrington.

Namun menurut Sport Bild, United bukan satu-satunya pasukan Liga Perdana Inggeris yang memberikan undangan kerana Alf-Inge juga mengunjungi pusat latihan Arsenal di London Colney.

Laporan itu turut mendakwa bahawa Arsenal juga berminat seperti United untuk mendapatkan Haaland.

Bagaimanapun laporan itu juga mendakwa Alf-Inge menasihati anaknya untuk menyertai pasukan di Bundesliga sebelum beralih ke Liga Perdana atau La Liga.

United, sementara itu mungkin berpeluang cerah berbanding Gunners memandangkan Ole Gunnar Solskjaer pernah bekerjasama dengan Haaland ketika di Molde.

Minggu lalu, laporan media mendakwa Solskjaer mengarahkan pimpinan United cuba mendapatkan kontrak untuk Haaland pada jendela perpindahan Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 11:51 PM