COLE (kanan) dan Mourinho. FOTO Agensi
Agensi

ASHLEY Cole mengakui terkejut dengan keputusan Jose Mourinho untuk menyertai Tottenham susulan pemecatan Mauricio Pochettino.

Daniel Levy tidak membuang masa untuk mengesahkan bekas pengendali Manchester United dan Real Madrid sebagai pengganti pengurus dari Argentina itu selepas disahkan dipecat semalam.

Mourinho menandatangani kontrak tiga setengah tahun dan akan memulakan tugasnya dalam perlawanan pertama apabila Spurs menentang West Ham Sabtu ini, cuba untuk mengubah nasib pasukan yang hanya menang tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Cole yang dibawa masuk Mourinho pada penggal pertamanya di Chelsea, mengakui bahawa melihat Mourinho di bangku Spurs akan mengambil masa untuk diterima tetapi percaya Levy membuat percaturan pintar.

“Secara jujurnya saya agak terkejut. Jelas sekali beliau ‘Orang Chelsea’ dan kemudian ke Man United dan kini kembali,” katanya.

“Saya hargai usaha yang dilakukannya di Chelsea dan apa yang cuba dilakukannya di United dan ini akan memberikan ujian getir buatnya. Ini sesuatu yang berbeza untuknya.

“Namun saya fikir beliau akan melakukannya dengan baik, beliau jurulatih dan pengurus yang hebat.

“Apabila orang bercakap mengenai perkara itu (menjadi Orang Cheslea), apabila mereka bercakap mengenai saingan, pada akhirnya beliau mahukan pekerjaan dan mahu kembali bekerja.

“Ia tugas hebat untuk diambil beliau.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 12:24 AM