Skip this ad x
Rafael Nadal meraikan kejayaan selepas menang ke atas pemain Croatia, Borna Gojo. FOTO Reuters
Reuters

TUAN rumah, Sepanyol menunjukkan peningkatan baik melepasi lapan kelompok terakhir pusingan akhir Piala Davis di La Caja Magica, Madrid, namun berdepan hari yang memenatkan buat pemain, penganjur dan peminat.

Pemain nombor satu dunia Rafael Nadal memastikan kedudukan teratas dalam Kumpulan B buat Sepanyol ketika dia mengatasi pemain Croatia, Borna Gojo 6-4, 6-3 untuk memastikan pasukannya mendahului selesa 2-0 selepas Roberto Bautista Agut menewaskan Nikola Mektic 6-1, 6-3.

Kekalahan itu menutup beberapa hari pelik buat juara bertahan Croatia yang tampil tanpa bintang mereka Marin Cilic selain meninggalkan kejohanan selepas dua kekalahan.

Novak Djokovic saingan Nadal bagi meramas kedudukan teratas ranking hujung tahun pula membantu Serbia bangkit dan meneruskan saingan dengan kemenangan mudah ke atas Yoshihito Nishioka ketika mereka menewaskan Jepun 3-0 dalam Kumpulan A.

Britain berdepan ranjau pada hari perlawanan pembukaan kempen mara ketika mengatasi saingan sengit Belanda 2-1 dalam pertembungan Kumpulan E yang menghabiskan hampir sembilan jam di gelanggang 3.

Juara tiga kali Grand Slam, Andy Murray kembali ke aksi Piala Davis buat pertama kali sejak 2016 tetapi hampir gagal berdepan pemain ranking 179 Belanda, Tallon Griekspoor, bangkit daripada ketinggalan defisit 1-4 dalam set penentuan untuk menang 6-7(7), 6-4, 7-6(5).


Andy Murray membalas pukulan Tallon Griekspoor dari Belanda ketika saingan kumpulan Piala Davis. FOTO EPA

Murray, 32, yang kembali selepas pembedahan pinggul pada Jun, dilihat terpaksa berhempas pulas di penghujung perlawanan sengit ketika dia mencatat rekod kemenangan dalam acara perseorangan Piala Davis 31-3.

Belanda menyamakan kedudukan ketika Robin Haase bangkit daripada tewas set pertama untuk mengatasi Dan Evans tetapi Britain memastikan kejayaan ketika gandingan Jamie Murray dan Neal Skupski menewaskan Wesley Koolhof dan Jean-Julien Rojer 6-4, 7-6(6).

Britain akan berdepan Kazakhstan dengan pemenang akan memastikan tempat ke suku akhir.

Kapten Leon Smith mungkin merehatkan Murray dan mungkin memerlukan ruang rehat buat dirinya.

“Ia antara hari yang cukup panjang membuatkan saya duduk di bangku,” kata Smith yang mengambil alih pada 2015 apabila Murray memastikan kejuaraan kejohanan buat Britain.

“Ia seperti satu lagi hari yang padat dengan lakonan luar biasa.”

“Saya lega sekarang,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu. “Saya tidak layak menang bagi perlawanan itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 7:46 AM