Barisan penaja yang menjayakan Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting - Selangor. FOTO Ihsan Pembaca

MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Persatuan Tenis Selangor (STA) menganjurkan Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting - Selangor pada 23 hingga 27 November ini.

Kejohanan edisi ke-17 menerima penyertaan seramai 224 pemain dari dalam dan luar negara.

Selain Malaysia, negara-negara lain yang turut serta di kejohanan ini ialah Filipina, Singapura, Vietnam, Indonesia, Uzbekistan dan Tajikistan.

Kejohanan akan berlangsung di empat lokasi iaitu di Kompleks Sukan MBPJ (Kelana Jaya), Gelanggang Tenis SS 3/14 (Kelana Jaya), Kompleks Sukan PKNS (Kelana Jaya), dan Kompleks Sukan Astaka Petaling Jaya.

Sebanyak 4 acara dipertandingkan membabitkan perseorangan lelaki dan perempuan serta acara beregu lelaki dan perempuan.

Kerjasama dengan Persatuan Tenis Selangor, MBPJ membolehkan bakat-bakat baru berjaya dicungkil khususnya dari akar umbi di dalam program pembangunan sukan tenis remaja MBPJ yang telah dilaksanakan sejak 1990.

Pembabitan peserta dari luar negara akan meningkatkan lagi skil dan mutu permainan peserta tempatan di samping menambah pengalaman dalam menyertai kejohanan peringkat antarabangsa.

Kejohanan pada tahun ini turut mendapat sokongan daripada Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Unit Sukan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kejohanan ini juga menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,600 serta medal dan sijil penyertaan.

Kejohanan turut mendapat tajaan Genting Malaysia Berhad (selaku penaja utama), F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Dunlop Srixon Sports Asia Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 12:25 PM