Fauzan akur tidak dapat beraksi di Filipina. FOTO fail NSTP
Azlan Muhammad Zain


PELUMBA berpengalaman negara, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi akur tidak dapat mempertahankan emas acara ujian masa berpasukan di Sukan SEA Filipina.

Dia yang mengetuai Malaysia melakar kejutan meraih emas acara berkenaan dua tahun lalu namun tersisih dalam kalangan empat pelumba pada edisi ke-30 kali ini.

"Saya akur dan menerima keputusan yang dibuat pihak pengurusan kerana sedar tidak berada dalam kondisi terbaik terutamanya laluan di Filipina adalah berbukit.

Jika laluan landai, mungkin sebaliknya," katanya.

Hanya dua pelumba dari skuad 2017 dikekalkan iaitu Nik Mohd Azwan Zulkifle dan Muhammad Ameer Ahmad Kamal manakala Muhamad Afiq Huznie Othman serta Akmal Hakim Zakaria melengkapkan senarai empat pelumba kali ini.

Kedua-duanya bersama pasukan profesional negara dengan Afiq Huznie berlumba untuk Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) manakala Akmal Hakim bersama Team Sapura Cycling (TSC).

"Saya berharap mereka mampu mengekalkan emas. Jika dilihat kondisi mereka, ia boleh dilakukan selepas menjalani latihan pusat bersama-sama," tambahnya.

Acara ujian masa berpasukan adalah sasaran tunggal emas skuad berbasikal negara selepas ketiadaan acara trek yang menyumbangkan 11 emas dua tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 3:31 PM