ZII Jia kurang konsisten tahun ini. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Saiful Affendy Sapran


GAGAL menempatkan diri dalam kelompok 10 ranking terbaik dunia tahun ini tidak sedikit pun melunturkan semangat pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

Sebaliknya, pemain yang ketika ini menduduki ranking ke-12 dunia itu berkata, dia akan terus mencuba untuk mencapai impian itu tahun depan.

“Memang saya letak sasaran untuk berada di kedudukan 10 terbaik dunia tapi setakat ini yang paling hampir adalah di kedudukan ke-11.

“Saya akui sasaran itu tidak dapat dicapai tapi ia bukan bermakna saya perlu berasa kecewa.

“Bagi saya, perjalanan karier masih jauh. Saya juga tidak begitu konsisten dan akan cuba perbaiki segala kelemahan,” katanya.

Jelas Zii Jia, ketika ini dia hanya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada temasya Sukan Sea Filipina yang bermula 30 November ini, satu-satunya tugas yang tinggal untuknya tahun ini.

“Saya akui saingan di Sukan Sea amat sengit. Bukan saja Indonesia, tapi Singapura juga agak kuat.

“Tapi saya tetap letak sasaran untuk meraih pingat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 10:59 PM