PEMAIN Al Hilal (kiri) mengawal bola sambil cuba disekat pemain Urawa di Riyadh. - FOTO Agensi
Reuters

AL Hilal yang memburu gelaran Asia pertama dalam tempoh dua dekad bakal mendapat sokongan padu 3,000 penyokong sendiri di Stadium Saitama apabila berdepan Urawa Red Diamonds pada aksi peringkat kedua final Liga Juara Juara Asia, Ahad ini.

Skuad Razvan Lucescu menang saingan pertama 1-0 di Riyadh dua minggu lalu hasil jaringan pemain sayap, Andre Carillo dan kelab menempah semua baki tiket diperuntukkan kepada mereka dalam perlawanan di stadium berkapasiti 63,500 tempat duduk di utara Tokyo itu.

Media di Arab Saudi melaporkan Putera Mohammed bin Salman mengarahkan empat pesawat membawa penyokong ke Jepun demi merealisasikan impian Al Hilal menamatkan kemarau kejuaraan peringkat Asia.

Juara 15 kali Arab Saudi itu dua kali tewas pada final kejohanan sama, dikecewakan kelab Australia, Western Sydney Wanderers pada 2014 dan pada 2017 tewas di tangan Urawa.

Kali terakhir Al Hilal juara pada 2002 apabila menewaskan kelab Korea Selatan, Jeonbuk Motors untuk muncul juara Trofi Pemenang Piala Asia dan mereka ketandusan kejuaraan sejak Liga Juara-Juara Asia diperkenalkan 17 tahun lalu.

Mereka juga mahu menjadi kelab pertama dari Asia Barat memenanginya sejak kelab Qatar, Al Sadd melakukannya pada 2011 ketika kejohanan itu didominasi kelab dari Asia Timur.

Urawa memburu gelaran ketiga selepas menjulangnya pada 2007 dan 2017 dan kemenangan bermakna trofi itu kekal di Jepun selepas dimenangi Kashima Antlers tahun lalu.

Skuad tuan rumah diperkuatkan dengan kembalinya penjaga gol pertama, Shusaku Nishikawa yang terlepas aksi pertama akibat penggantungan dan kesilapan penggantinya, Haruki Fukushima membolehkan Al Hilal menang di Riyadh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 10:07 PM