NEYMAR (tengah) bersaing dengan pemain tengah Lille, Benjamin Andre (kiri) dan Zeki Celik di Parc des Princes. — FOTO AFP
AFP

NEYMAR melakukan kemunculan semula susulan kecederaan buat Paris Saint-Germain awal pagi tadi ketika gol babak pertama Mauro Icardi dan Angel Di Maria menyaksikan pendahulu Ligue 1 itu menang 2-0 ke atas Lille di Parc des Princes.

Icardi membuka tirai jaringan dari jarak dekat pada minit ke-17 dengan gol ke-10 dalam sembilan aksi terakhir PSG dan Di Maria menggandakan kedudukan sejurus selepas setengah jam.

Di sebalik tidak menghampiri prestasi terbaik mereka, anak buah Thomas Tuchel terlalu kuat buat pasukan yang muncul naib juara di belakang mereka musim lalu.

Selepas hanya 14 perlawanan, PSG mendahului 11 mata di depan pasukan tangga kedua Marseille, yang bermain malam esok.


ICARDI (dua kanan) meledak gol pembukaan menentang Lille. — FOTO AFP

Neymar tidak bermain buat kelabnya sejak 5 Oktober lalu, selepas mengalami kecederaan hamstring tampil bersama Brazil menentang Nigeria seminggu sebelumnya.

Keputusannya pergi ke Madrid untuk menyaksikan kejohanan tenis Piala Davis minggu ini tidak begitu disenangi Tuchel, namun jurulatih Jerman itu masih menurunkan Neymar dalam kesebelasan utama.

Pada penampilan keenamnya musim ini, Neymar beraksi 65 minit sebelum digantikan Kylian Mbappe, yang bergelut kerana kurang sihat akhir-akhir ini.

“Saya tidak terlalu mengharapkan apa-apa daripadanya kerana dia tidak beraksi selama enam minggu. Dia kurang tajam dan sentuhannya kurang tepat,” kata Tuchel mengenai Neymar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 7:29 AM