SYAFIQ dan Wendy pamer terjunan cemerlang pada Kejohanan Grand Prix FINA 2019 Kuala Lumpur di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.
Iskandar Shah Mohamed


KEJAYAAN dalam dua siri Grand Prix FINA menjadi tonik berharga buat penerjun kebangsaan, Muhammad Syafiq Puteh meneruskan rentak kecemerlangan dengan meraih pingat emas pada Sukan Sea Filipina.  

Atlet berusia 24 tahun itu mengakui berpuas hati dengan prestasi terjunannya yang semakin konsisten dan bersedia menghadapi temasya dwitahunan berkenaan. 

"Namun, saya perlu terus mengekalkan momentum positif itu dan tempoh berbaki hanya kurang dua minggu akan digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki terjunan.  Selain itu, kejuaraan diraih dalam dua Grand Prix bulan ini menjadi penyuntik semangat baharu untuk saya mempamerkan aksi terbaik di Filipina nanti," katanya kepada Arena Metro. 

Menurutnya yang kali kedua menyertai Sukan Sea, dia berkemungkinan bakal menyertai acara papan anjal 3 meter (m) individu.  

"Setakat ini, memang ia belum dipastikan lagi namun jurulatih ada memberitahu saya supaya bersedia bagi acara berkenaan," katanya.  

Pada Grand Prix di Gold Coast, Australia awal bulan ini, Muhammad Syafiq meraih dua emas menerusi acara 3m papan anjal seirama lelaki dan campuran masing-masing ketika diganding bersama Gabriel Gilbert Daim dan Nur Dhabitah Sabri.  

Atlet kelahiran Perak itu turut beraksi cemerlang apabila merangkul emas dengan gandingannya yang juga Olimpian negara, Wendy Ng pada siri kejohanan sama di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini, Ahad lalu.  

Muhammad Syafiq antara lapan atlet yang bakal menggalas cabaran kem terjun kebangsaan untuk merebut empat pingat emas dipertandingkan di Pusat Akuatik New Clark City bermula 2 Disember depan. 

Untuk rekod, penerjun itu meraih emas bersama gandingannya, Jasmine Lai dalam acara seirama campuran pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.    

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 6:31 PM