VIDAL (kiri) meraikan jaringan kedua Barca di Leganes. - FOTO AFP
VIDAL (kiri) meraikan jaringan kedua Barca di Leganes. - FOTO AFP
Reuters

BARCELONA bangkit menewaskan kelab bawahan, Leganes 2-1 dalam aksi La Liga malam ini dengan jaringan kemenangan menerusi pemain gantian, Arturo Vidal pada lewat permainan.

Leganes yang dikendalikan jurulatih, Javier Aguirre terlebih dahulu mengejutkan pelawat dalam aksi di Stadium Butarque menerusi rembatan kencang pemain Maghribi, Youssef En-Nesyri pada minit ke-12.

Pasukan tuan rumah terlepas dua peluang terbaik menggandakan kelebihan sebelum rehat tetapi Barca menyamakan kedudukan pada minit ke-52 menerusi tandukan Luis Suarez yang mendapat hantaran sepakan percuma Lionel Messi.

Barca meraih jaringan kemenangan pada minit ke-79 apabila pemain tengah Chile, Vidal yang jelas dalam kedudukan ofsaid menolak bola ke gawang tetapi reviu VAR mengesahkan jaringan itu selepas bola terlebih dahulu terkena kaki pemain Leganes, Ruben Perez.

Barca menjarakkan kedudukan di puncak liga dengan tiga mata ke atas Real Madrid di tangga kedua tetapi mampu menyamakan pungutan mata apabila mereka menerima kunjungan Real Sociedad awal pagi esok.

Barca berdepan pencabar liga, Atletico Madrid di tempat lawan selepas ini tanpa pemain tengah berpengaruh, Sergio Busquets yang digantung selepas mendapat kad kuning kelima sepanjang kempen awal musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 10:30 PM