PAVARD (dua kiri) membuka tirai jaringan buat Bayern di Arena Merkur Spiel, Dusseldorf. — FOTO Reuters
AFP

BAYERN Munich merapatkan jurang di puncak Bundesliga kepada satu mata apabila menang besar 4-0 di Fortuna Duesseldorf awal pagi tadi ketika pendahulu Borussia Moenchengladbach mengalami kekalahan mengejut 0-2 di tangan Union Berlin.

Jurulatih sementara Bayern, Hansi Flick menikmati kemenangan ketiga berturut-turut sejak Niko Kovac dipecat awal bulan ini ketika kelab gergasi Bavaria itu kekal di tangga ketiga carta liga.

Di sebalik khabar angin mengaitkan bekas jurulatih Tottenham, Mauricio Pochettino dengan kekosongan jawatan di Bayern, Flick dimaklumkan beliau akan mengendalikan pasukan sekurang-kurangnya hingga Krismas ini.

“Saya boleh memasang angan-angan, tapi perjalanan kami masih jauh,” kata Flick apabila ditanya jika beliau boleh membayangkan dilantik sebagai ketua jurulatih secara tetap.

PENYERANG Union Berlin dari Nigeria, Anthony Ujah menanduk masuk gol pertama menentang Moenchengladbach. — FOTO AFP

“Saya seronok dengan suasana di sini. Ia akan sebegitu hingga Krismas dan saya hanya cuba melakukan tugas sebaik mungkin.”

Pendahulu semasa Moenchengladbach akan melayan kunjungan Bayern ke Borussia Park dua minggu lagi, pertembungan yang dinanti-nanti peminat Bundesliga.

“Kami berasa bagus, seperti yang anda lihat di tengah padang. Saya fikir cara kami bermain dan keputusan sudah cukup menceritakan segala-galanya,” kata penyerang Bayern, Thomas Mueller.

Bayern membelasah Duesseldorf menerusi gol Benjamin Pavard, Corentin Tolisso, Serge Gnabry dan Philippe Coutinho dengan Robert Lewandowski gagal menjaringkan gol liga buat kali pertama musim ini sekali gus menamatkan rentetan 11 perlawanan berturut-turut.

Kemenangan itu membolehkan Bayern kekal di tangga ketiga dan terikat 24 mata dengan RB Leipzig, yang menang 4-1 di kelab bermasalah Cologne.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 8:29 AM