KEVIN De Bruyne (kiri) menyumbat gol penyamaan City di Etihad. — FOTO Reuters
KEVIN De Bruyne (kiri) menyumbat gol penyamaan City di Etihad. — FOTO Reuters
Reuters

PEP Guardiola melakar kejayaan selama sedekad dalam bola sepak menerusi pasukan yang mendominasi pegangan bola namun awal pagi tadi – buat kali pertama dalam kariernya – satu daripada pasukannya kurang penguasaan bola berbanding lawan.

Dari Barcelona hingga ke Bayern Munich dan kemudian Manchester City, ‘cara Pep’ dibina di sekitar tumpuan berlebihan terhadap pegangan bola.

Namun awal pagi tadi, sesuatu yang pelik berlaku - pasukannya City mengalahkan Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris tanpa memenangi majoriti penguasaan bola.

Statistik penguasaan bola 46.74 ketika City menang 2-1 adalah yang paling rendah direkod pasukan kendalian Guardiola dalam 381 perlawanan liga utama di tiga kelab.

GUARDIOLA (kiri) kagum persembahan Chelsea. — FOTO Reuters
GUARDIOLA (kiri) kagum persembahan Chelsea. — FOTO Reuters

Pengendali dari Sepanyol itu cuba memberikan bayangan beliau tetap tidur lena tanpa memikirkan data itu, sekalipun sukar dipercayai beliau tidak bimbang.

“Sering kali ada perkara dalam kehidupan anda yang boleh berlaku. Ia berlaku,” katanya kepada wartawan.

“Jadi, OK, saya ada satu lagi rekod, saya menang satu perlawanan tanpa pegangan bola. Mereka (Chelsea) pasukan yang menakjubkan dengan (N’Golo) Kante, (Mateo) Kovacic, Jorginho, jadi ia boleh berlaku,” katanya.

Guardiola memuji persembahan Chelsea di bawah kendalian Frank Lampard.

“Mereka terlalu bagus, mereka pasukan yang mengagumkan. Ia Chelsea. Bola sepak menjadi sebegini. Kebanyakan pasukan dan pengurus muda mempunyai semangat dan tidak takut kalah. Itulah sebabnya bola sepak menarik. Chelsea bermain amat menakjubkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 10:24 AM