GREENWOOD (jersi hitam) menjaringkan gol penyamaan United di Bramall Lane. — FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyatakan semangat melawan pemainnya yang bangkit selepas ketinggalan 0-2 untuk mendahului 3-2 di Sheffield United menggembirakannya namun kesal dengan satu lagi persembahan buruk ketika seri 3-3 di Bramall Lane.

Anak buah Solskjaer kelihatan mahu melakar kekalahan selepas ketinggalan 0-2 awal pagi tadi, apabila mereka gagal memberi cabaran malah aksi Liga Perdana Inggeris itu lebih dikuasai pasukan pendatang baharu itu.

Namun tiga gol dalam tempoh tujuh minit daripada Brandon Williams, Mason Greenwood dan Marcus Rashford mengubah arus perlawanan dan meletakkan pelawat dalam laluan mencatat kemenangan sama seperti ketika zaman Alex Ferguson.

Tuan rumah bagaimanapun tidak mengalah dengan Oliver McBurnie menyamakan kedudukan pada masa kecederaan untuk menafikan Manchester United kemenangan kedua di tempat lawan musim ini.

WILLIAMS (dua kiri) memulakan kebangkitan United menentang Sheffield. — FOTO Reuters

“Ia persembahan yang terlalu teruk,” kata Solskjaer. “Secara jujur, saya memikirkan semula aksi Everton (kekalahan April lalu) kerana pasukan itu berputus asa dan pasukan ini tidak. Jadi apabila kami mendahului ia satu jawapan hebat daripada pemain.”

Semua gol Manchester United disumbangkan pemain dari produk akademi dan ia kali pertama United mempunyai dua pemain remaja sebagai penjaring dalam aksi Liga Perdana sejak Oktober 2005, memberikan Solskjaer satu lagi keyakinan.

“Ingat pemain ini masih muda. Apabila mereka meraih keyakinan selepas gol pertama, tiba-tiba kami mendahului dan mereka mencuba perkara yang boleh melenyapkan kebimbangan.

“Saya yakin pemain muda ini mendapat banyak pengajaran hari ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 7:57 AM