BALE bertindak baik ketika menentang Sociedad, Sabtu lalu. — FOTO Reuters
BALE bertindak baik ketika menentang Sociedad, Sabtu lalu. — FOTO Reuters
AFP

APABILA Zinedine Zidane menggugurkan Gareth Bale bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain tahun lalu, Bale percaya ia permulaan kepada satu penamat di Real Madrid.

Dua musim berlalu namun Madrid berdepan PSG sekali lagi di Santiago Bernabeu awal pagi Rabu ini, dengan masa depan bintang Wales itu masih menjadi tanda tanya dan kedudukannya dalam kalangan peminat makin teruk.

Dua aksi pusingan 16 terakhir Madrid menentang PSG dalam Liga Juara-Juara pada 2018, menjelang penamat tempoh pertama Zidane sebagai jurulatih dan dalam laluan kejayaan ketiga berturut-turut di Eropah, menjadi titik tolak antara Bale dan jurulatihnya.

Dengan mengetepikannya, mesej Zidane jelas: beliau tidak percayakan Bale dalam perlawanan besar. Kedua-duanya langsung tidak bertegur sapa hingga hujung musim, sekalipun Bale meledak dua gol sebagai pemain gantian pada final menentang Liverpool.

ZIDANE kini menjadi pembela Bale. — FOTO AFP
ZIDANE kini menjadi pembela Bale. — FOTO AFP

Bale dijangka berpindah pada musim panas itu namun Zidane sebenarnya yang mengundur diri dan ketika Bale kekal, Zidane kembali dan hubungan mereka dingin sejak itu.

Namun dalam beberapa minggu lalu, ketika sikap Bale makin membingungkan dan kritikan terhadapnya memuncak, Zidane tampil menjadi pembelanya.

Apabila Bale kembali ke London untuk bertemu ejennya awal bulan ini, Zidane menyatakan dia mendapat kebenaran. Apabila Bale menyertai Wales sekalipun terlepas enam aksi Real Madrid kerana cedera, Zidane menyatakan ia tidak kena pada masanya.

Apabila Bale meraikan kejayaan Wales dengan bendera yang meletakkan kelabnya di tangga terbawah dalam senarai keutamaan selepas negaranya dan bermain golf, Zidane menggesa peminat supaya mengingati sumbangannya.

BALE meledak dua gol pada final Liga Juara-Juara 2018 menentang Liverpool. — FOTO Agensi
BALE meledak dua gol pada final Liga Juara-Juara 2018 menentang Liverpool. — FOTO Agensi

“Saya sudah katakan sebelum ini, kami memerlukan peminat menyokong kami,” kata Zidane selepas perlawanan Sabtu lalu.

“Terlalu banyak bunyi bising, keterlaluan. Dia mahu bersama kami dan bertindak cemerlang dan dia melakukannya. Bercakap, bercakap, bercakap, ia tidak perlu. Dia memainkan peranan dalam kelompok pemain ini dan kami bersatu hati.”

Rayuan Zidane tidak didengari apabila peminat di Bernabeu mengejek serta mencemuhnya dengan kebanyakannya mahu pendapat mereka diambil kira.

Malah selepas masuk pada minit ke-67 ketika kemenangan 3-1 ke atas Real Sociedad, Bale bertindak baik dan ejekan setiap kali dia menyentuh bola semakin berkurangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 1:42 PM
Digital NSTP Subscribe