SKUAD wanita Malaysia  pada peringkat awal menentang Thailand  acara  Floorball Sukan SEA Filipina ke-30 2019 di University of Philippines , College of Human Kinetics Gym.
SKUAD wanita Malaysia pada peringkat awal menentang Thailand acara Floorball Sukan SEA Filipina ke-30 2019 di University of Philippines , College of Human Kinetics Gym.
Firdaus Hashim


HASRAT skuad floorball wanita negara mencipta kejutan hampa apabila tumbang kepada juara bertahan Singapura 2-8 pada aksi kedua saingan Sukan Sea 2019 di Gimnasium Universiti Filipina di Manila, di sini, hari ini.

Kekalahan besar itu mengulangi skrip sama semalam apabila turut tewas dengan jaringan sama kepada Thailand sekaligus menutup peluang untuk merebut pingat emas pada edisi kali ini.

Skuad negara kini hanya mengharapkan pingat gangsa namun harus memanfaatkan sebaiknya baki dua aksi lagi bertemu Indonesia esok dan Filipina Jumaat ini bagi mengutip mata maksimum.

Jelas pengendali pasukan, Rizal Razman, ketika ini anak buahnya tiada pilihan lain jika tidak mahu pulang tangan kosong.

“Kita sudah berikan segala-galanya hari ini namun kita berdepan sebuah pasukan yang jauh lebih daripada kita.

“Bagaimanapun, pemain kena bangkit dalam dua aksi selepas ini dan sasaran kita adalah cuba untuk raih pingat gangsa,” katanya.

Untuk rekod, ini adalah penampilan kedua skuad floorball wanita negara di temasya dwitahunan itu selepas menyertainya di Singapura pada 2015.

Ketika itu, skuad negara gagal meraih sebarang kemenangan apabila tumpas kepada Singapura yang meraih pingat emas manakala Thailand menggondol perak.

Disebabkan hanya tiga pasukan saja beraksi, Malaysia tidak layak dihadiahkan pingat gangsa namun pada edisi di Filipina kali ini skuad kendalian Rizal berpeluang menamatkan saingan di tempat ketiga dengan syarat harus memenangi dua aksi berikutnya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 6:40 PM