ALBERT Celades
ALBERT Celades
Reuters

JURULATIH Valencia Albert Celades menganggap Chelsea sebagai salah satu pasukan bola sepak terbaik menjelang pertemuan mereka dalam Liga Juara-Juara di Sepanyol awal pagi Khamis, namun menambah pasukannya masih mampu melangkah dalam kejohanan itu sekiranya tewas.

Valencia meraih kemenangan mengejut 1-0 apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stamford Bridge pada September namun skuad Frank Lampard semakin menunjukkan peningkatan selepas itu apabila menang sembilan daripada 13 perlawanan dalam semua kejohanan.

Valencia, Chelsea dan pendahulu Ajax Amsterdam masing-masing terikat tujuh mata selepas empat perlawanan dalam Kumpulan H dan perlawanan di Mestalla pastinya penting buat kedua-dua pasukan untuk mara dalam kelompok 16 terbaik kejohanan itu.

“Cheslea adalah pasukan super, satu daripada pasukan terbaik di Eropah dan bermain dengan baik ketika ini,” kata jurulatih Albert Celades pada sidang media.

Kapten Dani Parejo menambah: “Mereka adalah antara pasukan terbaik dunia kerana nama mereka, sejarah mereka dan segala-galanya.

“Mereka berada di tahap luar biasa biarpun mereka tewas kepada Manchester City sebelum ini.

“Namun fokus adalah pada kami. Kami sudah membuktikan bahawa kami boleh bertanding menentang mana-mana pasukan, sama ada Sepanyol atau Eropah.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 12:33 AM