X
EDERSON dan rakan sepasukan kecewa selepas Solomon menyamakan kedudukan buat Shakhtar.  - FOTO Reuters
EDERSON dan rakan sepasukan kecewa selepas Solomon menyamakan kedudukan buat Shakhtar. - FOTO Reuters
AFP

MISI tercapai. Itu yang ditegaskan Pep Guardiola selepas Manchester City layak ke saingan 16 terakhir untuk tujuh musim berturut-turut di sebalik persembahan hambar ketika seri 1-1 menentang Shakhtar Donetsk, awal pagi tadi.

Skuad Guardiola beraksi di bawah tahap sebenar di Stadium Etihad tetapi jaringan Ilkay Gundogan pada babak kedua meletakkan mereka dalam posisi selaku pendahulu Kumpulan C dengan baki satu perlawanan. .

Walaupun Manor Solomon menyamakan kedudukan buat Shakhtar, kemenangan Atalanta ke atas Dinamo Zagreb memastikan City kekal di tangga teratas.

"Kami telah pun layak. Kami beraksi dengan sangat baik pada babak kedua. Saingan peringkat kumpulan memang sukar tetapi sasarannya ialah mara dan kami mencapainya,” kata Guardiola.

"Sekarang kami selesai satu kejohanan jadi kami boleh fokus cabaran Liga Perdana.”

Guardiola boleh menarik nafas lega apabila dapat merehatkan pemain menjelang kunjungan ke Zagreb pada 11 Disember apatah lagi mereka berdepan aksi sukar menentang Manchester United and Arsenal dalam aksi Liga Perdana.

Walaupun City enggan menyerah kalah dalam perebutan gelaran Liga Perdana, Liverpool kini dalam kedudukan terbaik menjuarainya dan Eropah tampak peluang terbaik buat Guardiola merangkul trofi utama musim ini.

"Mereka mempunyai kualiti, Shaktar. Saya banyak kali beraksi dengan mereka dan sangat beroganisasi. Mempunyai penjaga gol yang hebat dan sukar menentang mereka,” kata Guardiola.

Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, City akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-56 menerusi jaringan Gundogan dalam kotak penalti selepas menerima umpanan Gabriel Jesus.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Solomon merembat kencang pada minit ke-69.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 7:35 AM