X
AUBAMEYANG rai gol kedua Arsenal. FOTO Reuters
AUBAMEYANG rai gol kedua Arsenal. FOTO Reuters
Reuters

PIERRE-Emerick Aubameyang sekali lagi sekali lagi menyelamatkan Arsenal apabila dua jaringannya memberikan keputusan seri 2-2 di Norwich City dalam perlawanan pertama Freddie Ljungberg sebagai pemangku pengurus malam ini.

Arsenal dua kali ketinggalan kepada Norwich menerusi jaringan Teemu Pukki dan Todd Cantwell tetapi Aubameyang memastikan Gunners kembali ke London dengan satu mata biarpun mereka kini mencatat enam perlawanan Liga Perdana Inggeris tanpa kemenangan.

Sepakan Pukki berjaya melepasi Bernd Leno pada minit ke-21 tetapi kelebihan Norwich tidak bertahan lama ketika Aubameyang menjaringkan gol menerusi penalti yang dilakukan dua kali selepas percubaan pertama diselamatkan Tim Krul.

Sepakan itu diarah dilakukan semula selepas VAR mendapati pemain Norwich meluru ke kawasan penalti.

Cantwell kembali meletakkan Norwich di depan pada minit terakhir separuh masa pertama susulan masalah pertahanan Arsenal.

Aubameyang menjaringkan gol pada jarak dekat untuk menyamakan kedudukan sekali lagi pada minit ke-57 tetapi Norwich hampir pasti meraih kemenangan dengan Leno menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.

Norwich kekal di tangga kedua tercorot dengan 11 mata daripada 14 perlawanan manakala Arsenal berada di tangga kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 12:22 AM