PEMAIN hoki dalam dewan wanita terpaksa menunggu lebih lama di Terbang Antarbangsa Clark.
Saiful Affendy Sapran


SKUAD hoki dalam dewan lelaki dan wanita berdepan detik sukar apabila tersadai di Lapangan Terbang Antarbangsa Clark lebih dua jam angkara bas membawa mereka ke tempat penginapan di Los Banos tiba lewat.

Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullaj berkata, situasi itu menjejaskan persediaan pasukan yang mahu menjalani latihan pada sebelah malam.

"Saya tak pasti sama ada kami dapat tiba mengikut jadual untuk menjalani latihan di sebelah malam. Perjalanan ke tempat penginapan pun dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat jam," katanya.

Beliau kemudian mengesahkan bas untuk membawa pasukan lelaki dan wanita akhirnya tiba selepas lebih dua jam menunggu di lapangan terbang.

Namun yang menambah rasa keliru Dhaarma ialah pasukan Indonesia yang tiada dalam jadual perlawanan, tiba-tiba muncul di lapangan terbang.

Kedua-dua pasukan lelaki dan wanita Indonesia tiada dalam jadual perlawanan yang dikeluarkan Persekutuan Hoki Asia (AHF).

"Saya terkejut dan hilang kata-kata. Keliru pun ada juga. Apabila saya bertanya pengurus Indonesia, dia memberitahu akan mencuba nasib untuk bertanding jika dibenarkan oleh pihak penganjur," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 5:47 PM