AKSI Luqman (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Timor Leste. - FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim


DUA jaringan penyerang kelab Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abd Razak dan satu masing-masing menerusi Akhyar Rashid serta gol sendiri pertahanan lawan membolehkan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara menumbangkan Timor Leste 4-0 di Stadium Memorizal Rizal, malam ini.

Kejayaan mengutip tiga mata pertama di temasya Sukan Sea 2019 itu membolehkan Malaysia mengumpul empat mata dan berada pada landasan tepat untuk merebut dua slot ke separuh akhir daripada Kumpulan A.

Mengekalkan formasi sama 3-4-3 seperti dua aksi sebelum ini ketika seri 1-1 dengan Myanmar dan tewas 0-1 kepada Filipina, anak buah Datuk Ong Kim Swee menguasai hampir 60 peratus aksi.


HADI (kanan) meraikan jaringan bersama Syahmi.

Kim Swee mempertaruhkan penyerang Pahang, Faisal Halim buat pertama kali dalam kesebelasan utama dengan merehatkan Akhyar selain turut menyenaraikan dua pemain B-18, Luqman Hakim Shamsudin dan Umar Hakeem Suhar Rezwan.

Menyedari hanya kemenangan besar mampu menghidupkan peluang, Malaysia tidak menunggu lama apabila berjaya mendahului seawal minit kelima menerusi kesilapan Armindo Almeida yang cuba mengeluarkan bola dalam kotak penalti namun menerjah masuk ke gawang sendiri.

Hadi yang mencetak satu gol ketika mengikat Myanmar sebelum ini kembali menemui sentuhan apabila meledak dua gol pada minit ke-34 dan 44 untuk menamatkan separuh masa pertama dengan 3-0.

Faisal yang gagal menyerlah sepanjang 45 minit pertama dibawa keluar Kim Swee dan memasukkan Akhyar bagi menambah sengat di jendera depan.

Begitupun, Timor Leste yang sesekali menyerang hampir memalukan skuad negara di babak kedua apabila memiliki sekurang-kurangnya lima peluang terbaik menjaringkan gol.

Namun kurangnya pengalaman menyaksikan skuad bimbingan Fabiano Flora gagal menembusi gawang negara yang dikawal Haziq Nadzli.

Menuju 10 minit terakhir, Akhyar menambah gol keempat sekaligus 'mematikan' terus kebangkitan pasukan lawan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 10:04 PM