GIOVANNI Simeone (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan di Arena Sardegna. — FOTO AFP
AFP

CAGLIARI meneruskan permulaan penuh kejutan pada musim Serie A awal pagi tadi apabila Alberto Cerri menjaringkan gol pada saat akhir untuk menewaskan Sampdoria 4-3.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi hebat pada pusingan ke-14 musim Serie A itu.

Kelab Sardinia itu menunjukkan kekuatan karakter selepas ketinggalan 1-3 di laman sendiri dengan berbaki 15 minit untuk mendapatkan tiga mata dan kembali ke tangga keempat liga.

Fabio Quagliarella membuka jaringan buat Sampdoria menerusi penalti. Gaston Ramirez menggandakan jaringan tidak lama selepas separuh masa kedua.

Radja Nainggolan membalas jaringan sebelum Quagliarella kembali mendapatkan kelebihan dua gol itu dengan jaringan hebat pada minit ke-70.

Dua jaringan voli dalam tempoh dua minit daripada Joao Pedro menyamakan kedudukan buat Cagliari.

Pada minit kelima masa tambahan, Cerri melakukan tandukan berbisa untuk meraih kemenangan berharga yang tidak diduga.

Skuad kendalian Rolando Maran kini mendahului AS Roma menerusi perbezaan jaringan dan dua mata di belakang Lazio di tangga ketiga. Sampdoria kekal satu mata di atas zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 11:39 AM