PEMAIN Bowling Kebangsaan, Muhammad Azizi Naim Jabar. FOTO Khairul Azhar Ahmad.
Iskandar Shah Mohamed


PEMAIN boling remaja kebangsaan, Muhammad Azizi Naim berazam memberi tentangan sengit ke atas anak legenda boling dunia, Parker Bohn bagi mengekalkan kejuaraannya pada pentas Kejohanan All-Stars Remaja Antarabangsa Storm di Sunway Mega Lanes.   

Pemain berusia 21 tahun itu bakal menggalas tugas getir berikutan Justin, 17, yang juga juara Jelajah Remaja Amerika Syarikat berada pada prestasi terbaik dengan turut menjuarai beberapa kejohanan berprestij lain.   

Azizi bagaimanapun bersedia menyerap segala tekanan dan sudah membuat persiapan rapi bagi saingan yang berlangsung bermula hari ini hingga 13 Disember depan itu.

"Tekanan sememangnya ada namun saya mahu kekal tenang biarpun bakal berdepan saingan peserta termasuk anak legenda Bohn (Justin) selain beberapa jaguh muda dari Australia, Jepun dan Korea.  

"Mengekalkan kejuaraan lebih sukar daripada memenanginya apatah lagi saya adalah juara bertahan. Namun, saya sudah mempersiapkan diri sejak sebulan lalu dan akan melakukan yang terbaik," katanya kepada Arena Metro.

  Pemain kelahiran Selangor itu berkata, penyertaan menerusi program podium bersama pemain senior kebangsaan di luar negara turut menjadi bekalan berharga buat dirinya untuk kekal konsisten.  

"Kejohanan ini amat penting bagi saya kerana mahu menyertai skuad senior untuk bersaing pada Kejohanan Berpasukan Asia dan Dunia tahun depan. Jika kekal memiliki kejuaraan, peluang saya mungkin amat cerah," katanya.  

Untuk rekod, pada edisi tahun lalu, Azizi muncul juara kategori bawah 22 tahun selepas menewaskan rakan senegara, Nevern Netaneel 225-222 dalam final stepladder di venue sama. 

Kejohanan edisi ke-20 anjuran Sunway Mega Lanes itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM150,000 yang merangkumi empat kategori utama termasuk Terbuka Lelaki dan Wanita selain bawah 15 serta 12 tahun.   

Parker Bohn, 56, adalah pemenang 35 kali kejuaraan Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) dan juara bertahan Kejohanan Kongres Boling Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 1:42 PM