Nur Suryani tidak mampu bersaing di Filipina. FOTO BERNAMA
BERNAMA

PASUKAN menembak negara semakin ketinggalan berbanding pesaing lain di rantau ini antaranya kerana kekurangan program pembangunan sukan itu.

Selepas prestasi hambar di Sukan Asia 2018 di Indonesia, skuad menembak negara terus kempunan apabila prestasi atlet negara di Sukan SEA ke-30 di Manila turut merisaukan.

Selepas dua hari acara menembak diadakan, Malaysia hanya meraih sebutir gangsa menerusi Jantan Hintu dalam acara 1500 Precision Pistol Competition (PPC), semalam.

Pada hari ini, penembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi tidak mampu bersaing menentang ‘pembidik dari negara Indonesia dan Singapura, yang jauh lebih muda dan kurang berpengalaman daripadanya dalam acara 10m air rifle di Lapang Sasar Marine Corps Training Centre, hari ini.

Selepas berjaya melepasi kelayakan untuk mara ke pusingan akhir, Nur Suryani menamatkan saingan di tempat kelapan dengan 120.9 mata, dan menjadi peserta pertama disingkirkan.

Mengikut format, penembak yang meraih mata paling rendah akan disingkirkan sehingga menentukan pemenang pingat emas.

Pingat emas menjadi milik pembidik berusia 18 tahun dari Indonesia, Vidya Rafika Rahmatan Toyyiba yang meraih 249.9 mata manakala Singapura membawa pulang perak dan gangsa menerusi Ho Xiu Yi, 19, dan Qian Xiu Adele Tan, 20, apabila masing-masing mencatatkan 248.2 dan 227.3 mata.

Nur Suryani, 37, mendapat perhatian media antarabangsa apabila beraksi di Olimpik London 2012 ketika mengandung lapan bulan tidak menafikan kekurangan persediaan dan program pembangunan sebagai punca prestasi kurang memuaskan skuad negara sejak kebelakangan ini.

“Prestasi saya tak begitu memberangsangkan kerana tahu saya boleh buat lebih baik daripada ini.

“Tapi itulah, apa yang kita usahakan tak semestinya dapat bukan rezeki dari Allah tapi tetap berjuang hingga akhir,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 4:29 PM