WOODS dan Els bergambar bersama trofi Piala Presiden. - FOTO Agensi
AFP

PEMAIN Australia, Adam Scott menyedari penonton yang menyaksikan Piala Presiden teruja menyaksikan Tiger Woods tetapi dia mendesak mereka tidak memberikan sokongan kepada bintang itu atau sesiapa sahaja dalam pasukan Amerika Syarikat.

Scott beraksi dalam lapan edisi kejohanan dua tahun sekali itu dan pemain tunggal pasukan Antarabangsa beraksi pada 2011 yang turut berlangsung di Royal Melbourne, venue kejohanan minggu depan.

Woods yang bertindak sebagai kapten kali ini memberikan mata kemenangan pada 2011 dan Scott berkata, penonton di Australia terlalu baik.

"Aksi terakhir, mereka terlalu baik,” katanya kepada akhbar News Corp menjelang Terbuka Australia pada Khamis ini di Sydney sekali gus pemanas badan menghadapi Piala Presiden.

"Kami perlukan sokongan penonton sendiri dan sudah pasti saya kecewa jika mereka menyorak Tiger atau sesiapa sahaja dalam pasukan AS."

Skuad Antarabangsa Ernie Els memerlukan sokongan padu selepas hanya sekali muncul juara dalam sejarah 25 tahun kejohanan itu di Melbourne pada 1998.

Mereka mempunyai gabungan pemain muda dan kurang berpengalaman berbanding AS yang diperkuatkan beberapa pemain ternama dunia seperti Woods, Dustin Johnson dan Justin Thomas.

"Kami perlu manfaatkan tempat sendiri. Kami tahu jarang menyaksikan bintang seperti Tiger dan DJ (Johnson) datang ke Australia atau Korea,” kata Scott.

"Dan penyokong di sini gembira menyaksikan mereka selain kami sendiri dalam pasukan ini. Tetapi ketika anda menghargai mereka, anda tak perlu menyorak memberi sokongan kepada mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 6:22 PM