RACHEL (kiri) dan Addeen Idrakie bersama pingat emas masing-masing. - FOTO Bernama
Firdaus Hashim


KEM skuasy negara meneruskan tradisi dan penguasaan di temasya Sukan Sea apabila menyapu dua emas di Kelab Polo Manila, hari ini.

Pemain skuasy wanita, Rachel Arnold memulakan tuaian emas negara apabila memenangi acara perseorangan wanita dengan menewaskan rakan senegara, Chan Yiwen 11-9, 11-7, 11-3.

Ia sekali gus menebus kekecewaan di temasya Kuala Lumpur dua tahun lalu apabila sekadar membawa pulang perak selepas tewas juga di tangan rakan senegara, S Sivasangari di pentas final.

“Saya memang berkeyakinan tinggi untuk turun dalam perlawanan hari ini. Saya fikir prestasi saya konsisten cuma ada ketika bergelut sedikit apabila melakukan beberapa kesilapan berturut-turut.

“Namun, saya gembira dapat kekal tenang dan menyumbang emas buat Malaysia hari ini,” kata Rachel selepas tamat perlawanan.

Penguasaan negara diteruskan Addeen Idrakie yang mengungguli perseorangan lelaki selepas menumbangkan pemain tuan rumah Filipina, Robert Garcia 11-7, 3-11, 11-9, 11-5 di final.

Kejayaan itu menyaksikan dia meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara perseorangan lelaki Sukan Sea selepas Ng Eain Yow meraih emas pada edisi 2017.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 7:59 PM