PASUKAN luncur ais wanita meraih emas acara 3000 meter berganti-ganti akhir. - FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim


PENGORBANAN atlet luncur ais negara, Anja Chong sanggup menempuh penerbangan sejauh 11,000 kilometer akhirnya berbaloi apabila dia berjaya membantu pasukan luncur ais wanita memenangi emas di Pusat Luncur Ais Pusat Membeli Belah SM, hari ini.

Dia yang bergandingan dengan tiga lagi rakannya, Kynie Chan, Ashley Chin dan Dione Tan mengungguli saingan 3000 meter berganti-ganti dengan mencatat masa terpantas 4 minit 53.235 saat.

Catatan itu jauh meninggalkan pasukan Indonesia di tempat kedua dengan 5:03.758 diikuti Singapura yang melakar 5:12.447 untuk meraih gangsa.

Jelas Anja yang bekerja sebagai peguam di London berkata, dia hanya sempat berlatih bersama pasukan selama 10 hari selepas menempuh perjalanan jauh ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, walaupun hanya berlatih dalam tempoh waktu agak singkat, namun dia dan rakan sepasukan berjaya membentuk gandingan mantap bagi memenangi acara itu.

"Saya amat gembira dan berbangga dengan kemenangan ini. Prestasi kami sangat baik dan masing-masing menjalankan tugas dengan sempurna. Terus terang saya baru saja menyertai latihan 10 lalu datang dari London untuk bersama pasukan ke Sukan Sea Filipina ini.

"Kami sedar kami adalah pasukan pilihan dan saya yakin kami akan mampu menyerlah dalam acara lain pula selepas ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 8:25 PM