SHAHRUL Zaman (empat dari kiri) bergambar bersama pemain ragbi Malaysia selepas majlis menandatangani MoU di Al-Ikhsan Sports cawangan The Curve. - FOTO Asyraf Hamzah
Meor Riduwan Meor Ahmad


MERAKYATKAN sukan ragbi menjadi objektif Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menerusi kerjasama strategik dengan peneraju barangan sukan nombor satu di Malaysia, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, menerusi inisiatif itu pihaknya berharap sukan ragbi semakin berkembang di negara ini sekali gus mencungkil lebih ramai bakat baru dan dapat diketengahkan di peringkat pertandingan kebangsaan dan mewakili negara dalam jangka masa panjang.

"Kerjasama ini untuk tiga tahun dengan nilai penajaan RM500,000 setahun dalam pelbagai bentuk termasuk jersi dan kit barangan. Kita berharap kerjasama strategik ini akan berterusan dengan penajaan oleh Al-Ikhsan Sports dalam kejohanan ragbi pelbagi peringkat usia.”

Beliau berkata kepada media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Al-Ikhsan dan pelancaran jersi pasukan ragbi Malaysia ke Sukan Sea hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Vach Pillutla serta naib presiden KRM, Raimi Yusof dan Amir Amri Mohamad.

Shahrul berkata, menerusi MoU bersifat 'situasi menang-menang itu diharap membuka mata masyarakat terhadap sukan itu dengan adanya jualan pelbagai produk ragbi di cawangan Al-Ikhsan seluruh negara.

"Saya berharap semua peminat dapat sokong dengan membeli produk dagangan ragbi ini," katanya.

Sementara itu, Vach berkata, pihaknya berbangga menaja jersi direka khas untuk pemain ragbi kebangsaan di Sukan Sea Filipina.

"Pada masa sama kami berharap peminat Malaysia akan menyerlahkan sokongan buat kontinjen kita di Sukan Sea dengan membeli jersi rasmi KRM di cawangan syarikat itu di seluruh negara bermula hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 9:32 PM