GELANGGANG baseball turut terjejas akibat hujan lebat di Kompleks Sukan Antarabangsa Clark di bandar Capas. - FOTO AFP
Firdaus Hashim


KETUA kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengesahkan baki atlet negara yang masih terkandas di tanah air bakal diterbangkan secara khas oleh syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS).

Jelas Megat, beberapa penerbangan ke Manila yang sepatutnya berlepas semalam terpaksa dibatalkan ekoran taufan Kammuri yang melanda negara penganjur temasya dwitahunan ke-30 ini.

Lantas, pihaknya sudah menghubungi MAS hari ini bagi mendapatkan bantuan dan kemungkinan atlet negara akan menaiki pesawat lebih besar Airbus A330 atau A380.

"Kita juga ambil pendekatan dengan MAS untuk membawa beberapa lagi pasukan yang terkandas di Kuala Lumpur. Peringkat awal kita dapat berhubung dengan MAS dan kalau semuanya berjalan lancar mereka (MAS) akan membawa atlet pada malam ini atau esok.

"Tapi itu juga bergantung kepada cuaca. Kemungkinan besar MAS dah bersetuju membawa pesawat lagi besar, maknanya kalau di Manila ini dipanggil pesawat 737, ada kemungkinan pesawat lagi besar iaitu Airbus A330 atau A383. MAS akan membantu bagi memastikan atlet kita dapat hadir dan bertanding," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Antara sukan yang masih 'terkandas' di Kuala Lumpur dan terbabit dengan penangguhan jadual penerbangan adalah skuad olahraga, gimrama, terjun, skuasy dan sukan elektronik negara.

Sementara itu, Megat turut mengesahkan PHISGOC akan menaja penginapan tambahan buat pasukan yang sepatutnya pulang ke tanah air semalam.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 10:09 PM