AHMAD Syamim (tengah) ketika beraksi bersama TFC.
Nazri Abu Bakar


BEKAS pemain Felda United dan Terengganu, Ahmad Syamim Yahya melengkapkan senarai 26 pemain skuad Melaka United (MU) musim 2020.

Pemain kelahiran Raub, Pahang itu bakal memperkasa skuad berkenaan selepas turut cemerlang bersama Johor dalam saingan Liga Perdana 2012-2013 sebelum menyertai T-Team pada musim berikutnya.

Dia yang menyertai Felda United FC dari 2014 - 2016 turut membantu pasukan itu muncul naib juara Liga Perdana 2014 dan meraih gelaran naib juara Liga Super 2016 sebelum menyarung jersi Pahang pada 2017 dan kembali semula ke Felda United semusim selepas itu.

Penolong pengurus Melaka, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, pengalaman pemain tengah dan sayap itu mampu memberi impak besar buat skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan.

Menurutnya, Melaka turut menyenaraikan semula pemain pertahanan Khair Muhammad Jefri Jones yang mewakili Kuala Lumpur musim ini.

Beliau berkata, pemain lain termasuk Muhammad Ferris Danial Mat Nasir yang pernah bersama Melaka pada 2016 namun mewakili Teregganu dan Negeri Sembilan selepas itu selain Nurridzuan Abu Hassan (Selangor) dan Khairul Anwar Shahrudin (Terengganu).

Syahrul berkata, turut membarisi skuad berkenaan pemain pertahanan UKM FC, Mohd Akmal Md Zahir yang pernah menyertai skuad Hang Tuah 2017.

Kesungguhan Melaka untuk menyerlah musim depan juga terlihat selepas turut menyenaraikan penyerang Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat (AS) Deshorn Brown untuk bergandingan bersama bekas peledak berbisa PDRM, Uche Agba bagi mengetuai jentera serangan Hijau Putih musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 11:14 PM