SOLSKJAER hadapi tugas getir menentang Spurs dan City. FOTO EPA
AFP

OLE Gunnar Solskjaer berkata, dia tidak bimbang dengan masa depannya sebagai pengurus Manchester United susulan beberapa siri pemecatan di Liga Perdana ketika mereka bersiap sedia berdepan Tottenham kendalian Jose Mourinho.

Spurs mendapatkan khidmat Mourinho selepas memecat Mauricio Pochettino bulan lalu manakala Arsenal dan Watford masing-masing menyingkirkan Unai Emery dan Quique Sanchez Flores.

Solskjaer berdepan tekanan dengan United kini di tangga kesembilan dalam Liga Perdana, 22 mata di belakang pendahulu, Liverpool dan lapan mata di belakang kelompok empat teratas ketika mereka bersiap sedia menerima kunjungan Totttenham pada awal pagi Khamis ini.

"Tidak, ia tidak membuatkan saya risau,” kata Solskjaer pada sidang akhbar hari ini. “Saya hanya fokus tugas saya dan melakukan yang terbaik pada aksi seterusnya. Saya akan terus pandang ke hadapan dan merancang sesuatu dengan pengurusan kelab.”

"Sudah tentu sedih apabila rakan sejawatan kehilangan kerja --- tiga dalam masa singkat. Ada masanya anda bernasib baik dan kadang kadang tidak tetapi ia tidak membuatkan saya lebih risau Disember ini,” katanya.

Pengendali United itu kecewa dengan prestasi pasukannya yang gagal menang dalam tiga aksi terakhir dan berdepan tugas getir menentang Spurs dan diikuti Manchester City pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 12:36 AM