Penyerang Manchester City, Gabriel Jesus (kanan) cuba melepasi pemain Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris pagi ini. FOTO AFP
Reuters

GABRIEL Jesus meledak dua gol dan Rodri melaksanakan tugas sebagai penjaring dengan penuh yakin ketika Manchester City mencatat kemenangan 4-1 di Burnley, pagi ini.

Sekali gus menunjukkan petanda juara bertahan itu mampu kembali bersaing dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan membawa pasukan kendalian Pep Guardiola yang seri di Newcastle United pada Sabtu kembali dengan lapan mata memisahkan pendahulu liga Liverpool menjelang pertembungan musuh setempat berdepan Everton di Anfield awal pagi Khamis.

Usaha awal Jesus menjaringkan gol yang dinafikan apabila ofsaid, memastikan gol pertama City menerusi sepakan lencong menarik pada minit ke-42 selepas bertukar hantaran dengan David Silva membolehkan pemain Brazil itu mudah menjaringkan gol.

Perancang tengah Portugal, Bernardo Silva mencipta gerakan bagi gol kedua untuk Jesus lima minit selepas rehat menerusi umpanan berhampiran pintu gol di mana penyerang yang tidak menjaringkan gol pada 10 perlawanannya terdahulu untuk kelab dan negara, memastikan sentuhan penyudah masih berbisa.

Tidak cukup dengan itu City menambah jaringan menerusi Rodri pada minit ke-68 apabila rembatan David Silva yang terhalang menyebabkan bola berada berhampiran Rodri di dalam kotak dan pemain Sepanyol melakukan rembatan sehingga gagal diselamatkan penjaga gol, Nick Pope menjadikan kedudukan 3-0.

Pemain gantian City, Riyad Mahrez meledak gol keempat tiga minit sebelum tamat perlawanan menerusi rembatan dari jarak dekat namun Guardiola pastinya kecewa apabila pasukannya membenarkan gol saguhati lewat Robbie Brady buat tuan rumah.

Namun pengendali Sepanyol itu mengakui perbualan mengenai pemburuan kejuaraan liga kembali diperkatakan.

“Mengenai jarak yang kami ada berbanding Liverpool mungkin ia perkara gila untuk difikirkan mengenai kejuaraan, kami harus memikirkan mengenai (minggu Manchester) derbie, persaingan lain, dan mengekalkan rentak ini,” katanya dalam sidang media selepas berakhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 7:08 AM