SAFEE Sali. FOTO Luqman Hakim Zubir
Meor Riduwan Meor Ahmad


“MEREKA patut rasa dan terima erti kekalahan di peringkat sekarang (Sukan Sea) supaya tidak menjadi kebiasaan kalah di peringkat senior.”

Itu reaksi bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mengenai kegagalan skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara pada Sukan Sea Filipina.

Menurutnya, pelbagai alasan dikaitkan kegagalan skuad negara termasuk peningkatan prestasi pasukan lain dan tempoh persiapan terhad, namun tanggungjawab mesti diambil bagi memperbaiki kelemahan.

“Pendapat saya pemain diturunkan sudah cuba sehabis baik. Mungkin selepas ini ada bedah siasat untuk persiapan supaya benda ini tidak akan berlaku selepas ini.

“Memang pelbagai alasan boleh diberikan. Faktanya persiapan skuad negara hanya dua minggu dan sukar bentuk persefahaman jitu antara pemain muda dan senior,” katanya.

Mengenai pemain berbakat termasuk Hadi Fayyadh Abdul Razak yang beraksi bersama kelab Fagiano Okayama di Jepun dan Luqman Hakim Shamsuddin yang tidak menyerlah seperti disasarkan, Safee berkata, mereka memerlukan masa untuk membentuk kematangan.

“Ini semua proses. Tidak semestinya apa yang kita ada (pemain), kita dapat tuai hasil. Ia mengambil masa,” katanya.

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully berpendapat, ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee tidak sewajarnya dipersalahkan 100 peratus atas kegagalan itu manakala bekas pengendali Harimau Muda A, Azraai Khor Abdullah menyatakan formsi 3-5-2 digunakan Kim Swee perlu dihormati.

LUQMAN (kanan) gagal capai prestasi terbaik di Manila. FOTO Osman Adnan

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 4:45 AM