AKSI Faizul (kiri) menentang atlet Filipina, Dines Dumaan. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran


PESILAT negara, Faizul Nasir mengakui tidak tahu apakah nasib yang akan menimpanya selepas enam jam tidak sedarkan diri sebaik tewas kepada peserta tuan rumah, Dines Dumaan, Selasa lalu.

Faizul yang sudah keluar dari hospital juga memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal memenangi pingat emas buat kali ketiga berturut-turut dalam Kelas Putra B (50-55kg).

“Mohon maaf kerana tidak jadi sebagai penyumbang pingat untuk Sukan Sea kali ini. Saya bukanlah atlet yang boleh dibanggakan dan juga kapten yang bagus.

“Siapa tidak kecewa apabila tidak dapat meneruskan perlawanan yang tiba-tiba ‘black out’. Enam jam tak sedarkan diri.

“Kalau pasukan perubatan lambat lagi tak tahulah apa jadi kat saya,” katanya di akaun Facebook peribadi miliknya.

Jelas Faizul, dia hanya tersedar selepas menjalani ujian Imej Resonan Magnetik (MRI) selepas dipindahkan di hospital ketiga.

Katanya, sebaik tersedar Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim dan timbalan ketua kontinjen, Nurul Huda Abdullah berada di sisinya.

“Mereka uruskan semuanya di hospital dengan baik termasuk isteri dan ibu mentua diberikan semua kelengkapan kerana sangat jauh dari hotel.

“Timbalan ketua kontinjen ada bertanya saya apa lagi yang boleh dibantu. Saya menjawab tidak perlukan apa-apa hanya minta maaf tidak dapat menyumbang pingat. Mungkin beliau memahami perasaan saya dan kemudian beliau menangis,” katanya.

Selasa lalu pemenang pingat emas edisi 2015 dan 2017 itu dilihat terbaring lebih tiga minit tanpa mendapat bantuan perubatan ketika wasit mengira mata sebelum mengumumkan kemenangan Dumaan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:01 AM