PASUKAN Pejabat Hutan Negeri (PHN) Pahang juara pada Kejohanan Bola Sepak Persahabatan Antara Daerah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di FA Jerantut, semalam.
Mohd Rafi Mamat


PENALTI jaringan Mohd Fazrulah Mahsad menobatkan pasukan Pejabat Hutan Negeri (PHN) Pahang selaku pemenang menewaskan gabungan pemain Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub/Unit Penguatkuasa Pahang Barat dan Pejabat Pembangunan Hutan Barat 1-0 untuk muncul juara Kejohanan Bola Sepak Persahabatan Antara Daerah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di FA Jerantut, semalam.

Pertandingan kali pertama diperkenalkan itu menarik penyertaan sembilan pasukan.Turut diadakan acara bola jaring membabitkan empat pasukan.

Ketua pasukan PHN Pahang Mohamad Jafri Ismail berkata, walaupun kali pasukan itu pertama diwujudkan namun keserasian dalam kalangan pemain dapat dilihat sepanjang kejohanan sehari itu.

Menurutnya, aksi bersemangat pemain dapat dilihat sejak mula perlawanan hingga ke aksi akhir yang berjaya mempamerkan persembahan membanggakan.

"Selaku ketua pasukan saya berpuas hati dengan persembahan semua pemain kerana walaupun beraksi dalam keadaan hujan namun tidak menjejas kesungguhan memburu kejayaan.

"Beraksi diatas padang tiruan tidak menjejaskan persembahan pemain, mereka beberapa kali bangkit untuk menjinakkan lawan diperingkat kumpulan," katanya.

Beliau berkata, kejohanan bolasepak antara daerah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang perlu terus diadakan setiap tahun dalam usaha mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan kakitangan.

Pengerusi penganjur kejohanan pegawai PHD Jerantut Mohd Zarin Ramlan berkata, sambutan pada kejohanan kali pertama diadakan begitu menggalakan walaupun kakitangan dibebani dengan tugas.

"Saya berharap kejohanan ini dapat terus diadakan pada masa akan datang dan diadakan secara bergilir seluruh negeri.

"Bukan hadiah yang menjadi buruan tetapi lebih penting dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan kakitangan seluruh negeri," katanya. ‘

Tempat ketiga bolasepak berpihak kepada PHD Jerantut dan keempat PHD Temerloh/Bera. Acara bola jaring menyaksikan johan milik PHD Jerantut, naib johan PHN Pahang, ketiga PHD Lipis dan PHD Temerloh/Bera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 12:46 PM