Muhaizar raih pingat gangsa acara maraton 42km. FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
Saiful Affendy Sapran


MUHAIZAR Mohamad meraih pingat gangsa dalam acara marathon sekali gus pingat pertama untuk olahraga yang membuka tirainya, hari ini.

Dia yang juga komando menamatkan saingan 42 kilometer (km) dengan catatan masa 2:33:08 saat (s) di belakang pemenang pingat emas dari Indonesia, Agus Prayogo (2:26:48s) dan pelari Thailand, Sanchai Namkhet (2:27:18s) yang meraih perak.

Muhaizar mengulangi pencapaian sama dua tahun lalu di Kuala Lumpur ketika dia muncul atlet pertama negara dalam tempoh 44 tahun meraih pingat menerusi acara marathon.

"Saya hanya tiba kelmarin (Rabu) kerana penangguhan jadual penerbangan.

Semalam pula sibuk dengan urusan seperti taklimat dan sebagainya.

"Jadi, saya tidak dapat beraksi dengan baik sepanjang perlumbaan kerana tidak mempunyai tenaga.

Ia adalah perlumbaan yang amat mencabar terutamanya ketika menuju ke garisan penamat.

"Jika tidak kerana masalah yang dihadapi (penerbangan), mungkin saya boleh mendapat keputusan lebih baik, tetapi saya tetap berasa berpuas hati," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 4:21 PM