KEEN Hoo (kiri) dan Kok Leong bersalaman dengan pemain Filipina selepas tamat final acara beregu lelaki. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim


SKUAD snuker negara berjaya merampas kembali pingat emas dalam acara beregu lelaki selepas gandingan Moh Keen Hoo-Lim Kok Leong menumbangkan wakil tuan rumah Filipina, Alvin Barbero-Jefrey Roda menerusi keputusan 3-1, hari ini.

Dalam aksi final yang berlangsung di Hotel Tent, Manila, pasangan negara mudah memenangi dua set awal sebelum tuan rumah bangkit merapatkan kedudukan 2-1.

Harapan penyokong tuan rumah untuk melihat Filipina bangkit menyamakan kedudukan dalam set keempat tidak kesampaian apabila Malaysia bangkit memperkemaskan aksi bagi menamatkan permainan dengan mata tertinggi.

Jelas atlet berpengalaman, Keen Hoo, kejayaan itu yang ketiga baginya selepas turut memenangi acara sama dalam dua temasya lain iaitu di Korat, Thailand pada 2007 dan di Singapura pada 2015.

"Saya rasa sangat gembira sebab berjaya merampas kembali emas selepas tewas dua tahun lalu. Tapi bukan senang (menentang pasangan Filipina), mereka baru sahaja muncul naib juara di Kejohanan Dunia," katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi final Sukan Sea 2019.

Dalam temasya 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia sekadar meraih tiga gangsa dalam acara beregu lelaki dan dua menerusi acara pool individu wanita yang disumbangkan Klaudia Djajalie dan Suhana Dewi Sabtu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 6:55 PM