PEMAIN negara meraikan kemenangan dalam acara berpasukan lelaki. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


JAGUH boling negara, Muhammad Rafiq Ismail mengakui kini tidurnya lebih lena selepas berjaya menyumbang emas dalam acara berpasukan lelaki akhir di Pusat Membeli Belah StarMall EDSA, Manila, hari ini.

Rafiq yang bergandingan bersama Tun Ameerul Luqman Al-Hakim, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Mohd Fishol ternyata tampil lebih unggul mengetepikan pencabar lain dengan mencatat jatuhan pin tertinggi 4,980.

Catatan itu meninggalkan Filipina yang sekadar mengumpul 4,937 jatuhan pin manakala Thailand di tempat ketiga dengan 4,896 jatuhan pin.

"Selepas empat hari saya seperti kurang bersemangat. Tapi akhirnya kemenangan ini berbaloi bersama rakan-rakan yang lain. Terima kasih kepada mereka sebab tak pernah putus asa walaupun moral kadang-kadang merudum tapi tetap bersemangat dan bersatu sehingga permainan terakhir. Selepas ini tidur saya lebih nyenyak berbanding malam sebelumnya," katanya.

Sebelum ini, Rafiq yang muncul juara dunia di Kejohanan Boling Dunia Lelaki di Hong Kong Disember tahun lalu gagal menyerlah dalam dua acara awal.

Dalam acara beregu, dia sekadar meraih gangsa bersama Tun Ameerul Luqman Al-Hakim serta gagal menamatkan saingan di kelompok tiga terbaik dalam acara perseorangan lelaki.

Untuk rekod, kejayaan emas berpasukan itu mengubati kekecewaan dua tahun lalu di Kuala Lumpur selepas gagal mempertahankan kemenangan diraih di Singapura pada 2015.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 9:11 PM