MEGAT Zulkarnain bergambar beramai-ramai bersama Keen Hoo dan Kok Leong selepas memenangi pingat emas acara beregu snuker. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim


JANGAN panik. Mungkin itu gambaran mahu diberikan ketua kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang percaya sasaran 70 pingat emas masih mampu dicapai berbaki lima hari sebelum saingan Sukan Sea 2019 melabuhkan tirainya Rabu ini.

Menurut Megat, meskipun semalam beberapa sukan gagal menghadirkan kilauan emas seperti boling, lawan pedang dan renang, beliau percaya kontinjen Malaysia masih berada dalam landasan tepat untuk merealisasikan sasaran itu.

“Saya berasakan kita dalam keadaan mengikut momentum. Mengikut perancangan awal, kita menjangkakan memang setiap hari kita akan dapat (emas). Cuma, semalam mungkin tersasar satu tetapi sudah diganti dengan silat. Saya nampak hari ini kita sudah balik kepada momentum asal dengan lima emas sudah dicapai.

“Jadi, saya percaya kita di landasan tepat dengan ada lagi beberapa sukan termasuklah gimrama yang kita jangkakan mampu menjadi penyumbang,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan beregu lelaki snuker negara, Moh Keen Hoo-Lim Kok Leong meraih emas.

Selain emas daripada sukan snuker, Malaysia turut berjaya menggondol emas dalam tiga sukan lain iaitu terjun (dua emas), renang dan boling berpasukan lelaki.

Mengulas mengenai aksi buruk pasukan memanah dan pelayaran, Megat dilihat kekal tenang dan percaya kehilangan emas dari acara itu akan mampu ditampung sukan lain.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 9:24 PM