RODGERS lonjak prestasi Leicester. FOTO Reuters
Reuters

LEICESTER City melanjutkan kontrak pengurus, Brendan Rodgers sehingga Jun 2025, menurut jurucakap kelab Liga Perdana itu selepas dikaitkan dengan jawatan sama di Arsenal.

Rodgers yang meninggalkan kelab Scotland, Celtic untuk mengendalikan Leicester pada Februari lalu telah mengubah nasib The Foxes yang kini menduduki tangga kedua liga hasil rekod pertahanan terbaik dengan hanya melepaskan sembilan gol musim ini.

Pengurus dari Ireland Utara itu dikaitkan dengan tugas di Arsenal selepas Unai Emery dipecat bulan lalu dan dia menghangatkan spekulasi apabila berkata terdapat klausa pembebasan dalam kontraknya.

Bagaimanapun, dia menegaskan hasrat untuk meneruskan tugas di Leicester.

"Apabila saya membuat keputusan datang ke Leicester City, ia kerana saya teruja dengan arah tuju kelab dan saya boleh menerapkan pengalaman bersama mereka,” katanya dalam laman web https://www.lcfc.com/news/1519565/brendan-rodgers-signs-new-leicester-ci....

"Saya datang ke sini dengan tujuan menambah sesuatu dan membina masa depan kelab. Saya mewarisi kelab yang mempunyai pengurusan dan staf berdedikasi yang mahukan kemajuan dan kami memiliki kumpulan pemain yang gembira bekerja setiap hari.”

Selepas memulakan kempen dengan dua seri, Leicester menang 11 dari 13 perlawanan termasuk tujuh aksi terakhir untuk mengatasi juara bertahan Manchester City di tangga kedua liga dan lapan mata di belakang Liverpool.

Leicester akan berdepan Aston Villa di tempat lawan pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 10:29 PM